Friday, September 19, 2008

Pandang yang Satu dalam yang ramai


Seorang lelaki dengan gaya ranggi, berketinggian sekitar lima kaki yang sering menjadi penghibur kini tiada lagi. Dia telah pergi jauh meninggalkan duniawi, berkelana menyambut seruan Ilahi.

Tanggal 30 Januari 2008, seluruh industri seni terkesima dengan berita pemergian si figura penulis lirik genius, Rosli Khamis yang cukup sinonim dipanggil Loloq.

Ya, tiada siapa menyangka sepantas angin berhembus si pengembara sepi dari Republik Singapura ini 'dijemput pulang' selepas empat hari menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya pada usia 50 tahun akikat pendarahan otak.

Tepat pukul 1.37 tengahari, dengan mata masih tertutup rapat dan tanpa meninggalkan kata-kata hikmah yang barangkali boleh dijadikan azimat, beliau menghembuskan nafas terakhir di hadapan isteri tercinta, Hariyah Yaacob, 35, serta beberapa teman karibnya.

Benar, teman-teman seperjuangan lain ramai yang ralat.

Ralat kerana tidak dibenarkan menziarah beliau sewaktu hayatnya.

Ramai yang menyatakan rasa terkilan kerana gagal menyampaikan kata maaf dan membisikkan doa di telinga Loloq.

Namun, menyedari realiti ayah kepada Krsty Nur, 10, Jaevn Nur, 7 dan Yasha Nur, 5, yang membuat permintaan terakhir agar tidak dijenguk teman kala dirinya berada dalam keadaan 'berduka' semuanya akur dan menghormati keinginan lelaki yang dikenali sebagai seorang perahsia ini.

Hayatnya sebagai seorang penulis lirik diisi dengan portfolio yang cukup hebat. Namakan siapa artis besar yang belum mendapat sentuhan seninya, hampir tidak ada.

Nama-nama besar seperti M.Nasir, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Search, Wings, Hattan, Ella, Spider, Misha Omar dan Mawi telah menerima idea magis yang diilhamkan dari mindanya yang tidak pernah mati itu.

Mula menumpahkan idea menulis lirik pada usia 27 tahun, Loloq pada kehidupan silamnya merupakan seorang lelaki yang menjalani kehidupan tanpa arah tuju. Dari Singapura, dia sendirian berkelana ke Kuala Lumpur pada usia 23 tahun.

Pernah terlibat dengan najis dadah selama enam tahun, mengikut ajaran Tasauf dan menjadi kutu rayau, perjalanannya menemui paksi apabila bertemu M.Nasir dan Amy Search di Jalan Chow Kit sekitar tahun 1980-an.

Pada waktu itu, beliau yang merupakan seorang penganggur dengan beraninya memujuk M.Nasir dan Amy menggunakan lirik ciptaannya untuk dimuatkan ke dalam album mereka.

Kesungguhan dan anugerah yang Tuhan berikan kepadanya melalui

bait bicara yang mendalam dan intelektual sepanjang 25 tahun menjadi penulis lirik, telah menjulang Loloq dengan pelbagai pengiktirafan pada majlis berprestij hiburan tanah air.

Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Juara Lagu (AJL) meletakkan Loloq pada prestij tersendiri.

Malah Loloq sendiri telah melakar sejarah peribadi apabila diangkat sebagai Penulis Lirik Terunggul sebanyak lima kali berturut-turut pada majlis anjuran Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik (MACP).

Memetik kata-kata seniman M.Nasir, karya Loloq bukan setakat popular dan sedap didengar tetapi rakaman pemikiran, perjalanan dan kehidupan.

Di dalamnya ada roh dan dia sebahagian daripada kehidupan itu. Dia seorang yang luar biasa dalam dunianya sendiri.

Mengimbas bicara dengan lelaki yang rendah hati tetapi tinggi bahasa ini mengenai posisinya sebagai penulis lirik, ringkas Loloq memberitahu :

"Saya akan terus berkarya dan tidak akan berhenti hanya kerana rasa sudah tua. Cuma saya harap satu hari nanti saya tidak akan menjadi manusia aneh."

Semoga roh Rosli Khamis sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang mendapat keredhaan. Amin.

copy n paste..untuk pengetahuan semua

No comments: